Industri Pelancongan Di Malaysia


1.0 Pengenalan


Pelancongan dan melancong membawa maksud yang berbeza. Menurut kamus dewan, pelancongan berasal daripada perkataan lancong atau melancong yang membawa maksud melawat sambil melihat-lihat (bersenang-senang) (Noresah, 1997). Dalam bahasa Inggeris Pelancongan diertikan sebagai tourism manakala melancong pula diertikan sebagai travel atau journey (Hawkins, 2006). Melancong juga didefinisikan sebagai meninggalkan tempat tinggal menuju ke sesuatu destinasi dengan tujuan tertentu dan berhasrat untuk kembali semula ke tempat asal (Asmak Ali dan Fatimah Salleh, 2010). Manakala pelancong pula diertikan sebagai orang yang bermusafir ke sesuatu tempat dengan tujuan tertentu dan tidak bertujuan untuk berhijrah atau berkerja di tempat tersebut (Ibn Hussain Naqud, 2003).




Pelancongan turut didefinisikan sebagai satu kegiatan multidimensi dan pelbagai yang menyentuh dalam aspek kehidupan dan aktiviti ekonomi. Pelancongan tidak semuanya bertujuan untuk keseronokan atau berhibur malah ia juga merangkumi pelancongan perniagaan, pelancongan kesihatan, pelancongan sukan dan lain-lain (Chris Cooper et al. (1993) . Fathi Yakan membahagikan pelancongan kepada dua iaitu perlancongan taat yang berlandaskan syariat Islam dan pelancongan maksiat iaitu yang berlawanan dengan ketetapan dan syariat Allah s.w.t. (Fathi Yakan, 1999). Menurut Hunziker (1995) pula, beliau mendefinisikan pelancongan sebagai satu fenomena yang mempunyai hubungan dengan perjalanan seseorang yang tidak kekal dan tidak terlibat dengan aktiviti atau kegiatan yang produktif (French et al. (1995).

Pertubuhan Pelancongan Dunia atau World Tourism Organization (UNWTO) mendefinisikan pelancongan sebagai orang yang pergi atau tingal di tempat-tempat yang diluar kebiasaan mereka untuk bercuti dengan tidak melebihi tempoh satu tahun. (World Tourism Organization, 2011) Manakala Islamic Tourism Centre atau Pusat Pelancongan Islam di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia pula telah mendefinisikan pelancongan Islam sebagai suatu bidang atau industri atau aktiviti yang berkaitan dengan pengembaraan untuk melawat tempat-tempat yang mempunyai sejarah Islam, mengenali budaya serta warisan Islam, dan juga untuk memahami dan menyelami cara hidup masyarakat Islam. (Islamic Tourism Centre, 2012) Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pelancong merupakan seseorang yang meninggalkan rumah kediamannya untuk pergi ke sesuatu tempat dengan tujuan bercuti atau melancong. Manakala pelancongan pula disimpulkan sebagai satu industri yang memberi kemudahan kemudahan kepada orang ramai untuk pergi melancong.

World Tourism Organization (UNWTO)






2.0 Perkembangan Sektor Pelancongan Di Malaysia


Sektor pelancongan negara merupakan salah satu sektor yang penting dalam ekonomi negara. Sehingga kini, sektor pelancongan merupakan sektor kelima terbesar negara selepas sektor perkhidmatan kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas dan tenaga, dan petroleum dengan menyumbang sebanyak RM36.9 bilion kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) (Unit Perancangan Ekonomi, 2010) Namun begitu pada peringkat awal selepas pasca kemerdekaan Malaysia, kerajaan tidak memberi penekanan terhadap sektor pelancongan. Kerajaan pada ketika itu lebih memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur negara dan melawan ancaman komunis. Selain itu, faktor ancaman dari luar seperti konfrantasi dengan Indonesia turut menjejaskan fokus kerajaan pada ketika itu. Ia sekaligus melambatkan pekembangan sektor pelancongan di Malaysia (Nik Mahmud, 2009). Pada era tahun 60-an, sektor pelancongan masih belum memainkan peranan yang penting terhadap perkembangan ekonomi negara. Kerajaan pada ketika itu memberi tumpuan kepada sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah. Sektor hasil bumi tersebut telah menyumbang sebanyak 45% kepada keluaran Negara kasar (KNK) pada tahun 70-an (Unit Perancang Ekonomi, 1971).

Walaubagaimanapun, sektor pelancongan negara telah mula dilihat mengalami perkembangan positif pada era tahun 70an. Ketibaan pelancong melalui udara dan air ke Malaysia telah meningkat daripada 23,000 orang pada 1961 kepada 77,000 orang pada tahun 1970 dengan purata kemasukan setahun meningkat sebanyak 14.4%. Hasil kerjasama kerajaan dengan pihak swasta telah meningkatkan lagi kemudahan- kemudahan asas untuk kegunaan pelancong. Bilangan bilik penginapan yang mengikut piawaian antarabangsa telah meningkat daripada 1900 bilik pada tahun 1965 kepada 6000 bilik pada tahun 1970. Di samping itu, peningkatan jumlah hotel dan bilik tersebut turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk Malaysia seramai 2700 orang pada tahun 1965 kepada 8000 orang pada tahun 1970 (Unit Perancang Ekonomi, 1971).


Dalam Rancangan Malaysia Ke-2 (RMK-2: 1971-1975), kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia bertujuan untuk mencapai perpaduan nasional melalui pembasmian kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan antara kaum (Unit Perancang Ekonomi, 1971). Pada tahun 1972, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Conference Of The Pacific Areas Travel Association (PATA). Seminar berkenaan telah menyedarkan kerajaan terhadap kepentingan dan peluang ekonomi yang terdapat dalam sektor pelancongan. Ekoran dari itu, kerajaan telah menubuhkan Tourist Development Corporation (TDC) pada 1972 yang bertujuan untuk melaksanakan dasar pembangunan pelancongan pertama negara yang lebih dikenali sebagai Pelan Pembangunan Pelancongan 1975 (Marzuki, 2010).

Sektor pelancongan negara dilihat semakin berkembang pada awal tahun 80-an. Pada ketika ini negara sudah aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar. Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia sebanyak 2.25 juta orang pada tahun 1980 telah meningkat kepada 3.22 juta orang pada tahun 1985 dan seterusnyanya meningkat kepada 3.62 juta orang pada tahun 1988 (Unit Perancang Ekonomi, 1986). Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1990 kerajaan telah menaiktaraf kementerian tersebut kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan tersebut, ia telah merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara (Marzuki, 2010).

Dalam Rancangan Malaysia ke-5 (RMK-5: 1986-1990), kerajaan telah mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas untuk para pelancong di seluruh negara seperti menaiktaraf jeti pelancongan di Kuala Tahan, Pulau Langkawi dan Pulau Tioman. Membaiki kemudahan sedia ada di taman-taman negara. 


Jeti Pelancongan Kuala Tahan

Jeti Pelancongan Pulau Langkawi

Jeti Pelancongan Pulau Tioman

Selain itu, kerajaan juga telah menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menampung kemasukan pelancong asing yang kian bertambah (Unit Perancang Ekonomi, 1991).

Seterusnya, kerajaan telah mengamalkan dasar ruang angkasa terbuka untuk penerbangan sewa khas ke Malaysia. Dasar tersebut bertujuan untuk menarik lebih ramai pelancong asing berkunjung ke Malaysia melalui penerbangan khas dari negara masing-masing terus ke destinasi pelancongan seperti Langkawi, Pulau Tioman, Kota Kinabalu dan Kuching (Unit Perancang Ekonomi, 1991). 

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur


Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

Pada tahun 1990, kerajaan telah mengisytiharkan Program Tahun Melawat Malaysia (TMM 90). Ia telah meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke Malaysia sebanyak 7.44 juta pelancong (Habibah Ahmad, 1994). 

Tahun Melawat Malaysia 90 tema "Mengagumkan Malaysia, Tahun Perayaan"


Peningkatan kedatangan pelancong ke Malaysia pada tahun 1990 selepas kerajaan melancarkan Tahun Melawat Malaysia 90


Dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6: 1991-1995), kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan produk-produk pelancongan baru (Unit Perancang Ekonomi, 1996). Kemudian, pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dengan menawarkan 170 program dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan pameran (Unit Perancang Ekonomi, 1996). 


Tahun Melawat Malaysia 94 dengan tema "Mengagumkan Malaysia, Sememangnya Banyak"


Pembukaan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sepanjang 847 km menghubungkan Bukit Kayu Hitam dengan Johor Baharu telah meningkatkan kemudahan jaringan pengangkutan dalam negara. Ia berjaya mengalakan perkembangan pelancongan domestik dan meningkatkan ketibaan pelancong dari Thailand dan Singapura (Unit Perancang Ekonomi, 1996).


Jaringan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam


Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) 


Namun, pada tahun 1997 dan 1998 industri pelancongan negara telah mengalami kemerosotan disebabkan oleh kejadian jerebu, penularan wabak virus nipah dan Coxsackie serta krisis kewangan Antarabangsa. Faktor-faktor tersebut menjadi punca kemerosotan kedatangan pelancong ke Malaysia. Peratusan kemasukan pelancong telah menurun sebanyak 13% pada tahun 1997 dan 10.6% pada tahun 1998. Bagi memulihkan semula krisis ekonomi yang melanda Malaysia, kerajaan telah menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu pelan pemulihan krisis tersebut. Kerajaan telah melakukan pelbagai strategi baru dengan meningkatkan promosi dan menceburi pasaran baru seperti China, India, Timur Tengah, Australia, dan juga Eropah. Antara tujuan kerajaan adalah untuk menggalakkan aliran masuk wang ke dalam negara dan mengurangkan aliran keluar matawang negara dan seterusnya memulihkan krisis ekonomi negara. Hasilnya, pada tahun 1999 ketibaan pelancong ke Malaysia telah meningkat sebanyak 43.6% daripada jumlah ketibaan pelancong tahun 1998. Sebanyak 10.2 juta pelancong telah direkodkan melawat Malaysia pada tahun 2000 (Unit Perancang Ekonomi, 2001).

Virus Nipah 

Penyakit kakit, tangan dan mulut (HFMD) yang disebabkan oleh virus Coxsackie 


Industri pelancongan negara berkembang baik dengan peningkatan ketibaan pelancong dengan kadar purata sebanyak 10.0% setiap tahun. Namun, pada tahun 2003, ketibaan pelancong ke Malaysia telah kembali mengalami kemerosotan. Ia disebabkan oleh penularan wabak Sindrom Penafasan Akut Yang Teruk (SARS) dan keadaan politik dunia yang tidak stabil. Walaubagaimanapun, ketibaan pelancong telah meningkat semula pada tahun 2005 dengan 16.4 juta orang dicatatkan melawat Malaysia (Unit Perancang Ekonomi, 2006). Pada Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8: 2001-2005), kerajaan telah menyasarkan strategi asas dan dasar pembangunan pelancongan untuk mencapai pertumbuhan yang mampan di samping menjana pendapatan negara. Strategi pelancongan yang mampan telah digunakan untukmelindungi keseimbangan antara alam sekitar, ekonomi, sosial dan isu-isu budaya dalam semua aktiviti pelancongan (Marzuki, 2010).


Pada tahun 2007, kerajaan sekali lagi melancarkan program Tahun Melawat Malaysia (TMM 07). Program tersebut dijalankan sempena Sambutan Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia ke-50 (Unit Perancang Ekonomi, 2006). Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-Sembilan 2006-2010 (RMK-9), kerajaan masih lagi meneruskan dasar pembangunan pelancongan yang mampan dengan menekankan pembangunan produk baru, peningkatan penggunaan sumber manusia dan membangunkan pelancongan domestik. Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan eko-pelancongan melalui pertanian dan pembangunan produk luar bandar (Marzuki, 2010).



Tahun Melawat Malaysia 94 dengan tema "Menyambut 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia"




Tempat ekopelancongan yang ada di Malaysia
Secara kesimpulannya, sektor pelancongan negara dilihat telah mengalami peningkatan dan perkembangan yang baik. Kerajaan telah mengambil perhatian serius dalam membangunkan industri pelancongan negara sejak awal tahun 80-an sehingga sekarang. Perhatian kerajaan terhadap sektor tersebut dapat dibuktikan dengan peruntukan kewangan dan pelaburan yang dibelanjakan sepertimana yang akan dibincangkan di dalam subtopik di bawah.



3.0 Kepentingan Sektor Pelancongan Terhadap Pembangunan Negara


Sektor pelancongan telah memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ekonomi dan menjana pendapatan negara. Ia merupakan salah satu daripada peneraju ekonomi negara dan merupakan punca pertukaran wang asing negara. Jumlah pendapatan negara melalui pertukaran wang asing telah meningkat daripada RM132 juta pada tahun 1970 kepada RM545 juta pada tahun 1980 (Unit Perancang Ekonomi, 1981 ). Tambahan pula, sewaktu negara mengalami kemelesetan ekonomi pada sekitar tahun 1980-an, kerajaan telah memfokuskan kepada sektor pelancongan untuk meningkatkan kembali pendapatan negara. Hasilnya, sektor berkenaan telah berjaya menyumbang sebanyak RM 1500 juta kepada negara pada tahun 1985 dan terus meningkat sebanyak RM4,500 juta pada tahun 1990 (Unit Perancang Ekonomi, 1991) .

Manakala pertukaran mata wang asing pula terus memberi sumbangan kepada negara dengan RM713.4 juta pada tahun 1980 meningkat kepada RM 1,730.6 juta pada tahun 1985 (Unit Perancang Ekonomi, 1986). Langkah kerajaan yang menjayakan program Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990 telah meningkatkan hasil pendapatan negara melalui pertukaran matawang asing sebanyak 56% dengan hasil bernilai RM 4.5 bilion (Salehen Sidek, 2010).Ketika negara mengalami krisis kewangan pada 1997 dan 1998, kerajaan telah mengambil beberapa strategi dalam sektor pelancongan dalam usaha meningkatkan semula ekonomi Malaysia yang terjejas. Kerajaan telah mempertingkatkan lagi promosi pelancongan negara dan meneroka pasaran baru dunia bagi menarik lebih ramai pelancong melawat Malaysia. Usaha tersebut telah mendatangkan hasil dengan peningkatan kemasukan pelancong dan sebanyak 10.2 juta pelancong telah direkodkan melawat Malaysia pada tahun 2000 (Unit Perancang Ekonomi, 2001).
Jumlah pelancong yang melawat Malaysia pada Tahun 1995, 2000 dan 2005



Dengan peningkatan kemasukan pelancong tersebut, ekonomi negara yang terjejas akibat krisis kewangan tersebut telah mula kembali pulih. Pertumbuhan industri pelancongan menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui rantaian rapat dengan beberapa industri lain seperti pengangkutan, penginapan, makanan dan minuman, hiburan dan membeli belah. Oleh itu, pendapatan hasil daripada sektor pelancongan telah meningkat dengan pertumbuhan sebanyak 13.6% dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK-7: 1996-2000) dengan hasil berjumlah RM 18.7 bilion dicatatkan pada tahun 2000 (Unit Perancang Ekonomi, 2001).




Seterusnya, peratusan pendapatan pelancongan daripada pendapatan akuan perkhidmatan dalam imbangan pembayaran telah meningkat daripada 32.7% pada tahun 2000 kepada 43.0% pada tahun 2005. Manakala sumbangan bersih pelancongan pula meningkat daripada RM11.2 bilion pada tahun 2000 kepada RM18.1 bilion tahun 2005 (Unit Perancang Ekonomi, 2006). Sempena kemerdekaan Malaysia ke-50 pada tahun 2007, kerajaan sekali lagi telah melancarkan program Tahun Melawat Malaysia (TMM 2007). Program tersebut telah berjaya menarik masuk 20.1 juta orang pelancong sekaligus merangsang dan menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang hasil sebanyak RM 44.5 bilion (Salehen Sidek, 2010).

Pada tahun 2009 pula, sektor pelancongan negara telah menyumbang sebanyak RM 36.9 bilion kepada keluaran negara kasar (KNK). Ini menjadikan sektor tersebut industri kelima terbesar negara selepas minyak, gas dan tenaga, perkhimatan kewangan, borong dan runcit, dan kelapa sawit (Unit Perancang Ekonomi, 1986). Ketibaan pelancongan pada tahun tersebut adalah seramai 23.6 juta orang telah mendatangkan hasil kepada negara sebanyak RM53.4 bilion. United Nations World Tourism Organization telah meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-9 bagi ketibaan pelancong dan tempat ke-13 dari sudut pendapatan. Jumlah pendapatan negara melalui sektor pelancongan terus meningkat kepada RM59.2 bilion pada tahun 2010 (Laporan ekonomi 2010/2011, 2011).


Selain itu, industri pelancongan juga telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan seperti perusahaan restoran, peruncitan, pernyedian perkhidmatan pengangkutan, dan penyediaan penginapan. Guna tenaga yang terlibat secara langsung dalam industri perhotelan telah meningkat dari 25,170 pada tahun 1985 kepada 39,960 pada tahun 1990 dengan mewujudkan tambahan pekerjaan sebanyak 14,790. Bilangan agensi pelancongan juga bertambah dari 611 pada tahun 1985 kepada 1,545 pada tahun 1990. Dalam tempoh itu juga, sebanyak 8,330 lesen telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat bas persiaran, teksi, dan kereta sewa (Laporan ekonomi 2010/2011, 2011).

Melalui subsektor ekopelancongan, ia telah membuka peluang kepada penduduk tempatan untuk melibatkan diri dalam penyediaan penginapan melalui program homestay. Pada tahun 2010, seramai 2,998 orang telah dilatih dan diberi lesen untuk mengendali penginapan homestay di seluruh negara. Selain itu, kerajaan telah mempromosikan pakej pelancongan komuniti orang asli telah membuka peluang pekerjaan kepada orang asli menjadi pemandu bot dan pemandu pelancong alam semulajadi (Laporan ekonomi 2010/2011, 2011). Secara tidak langsung, program seperti ini akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan disamping meningkatkan lagi pendapatan mereka.
Program Homestay di kampung


Aktiviti ketika menginap di homestay 

Aktiviti ketika menginap di homestay Orang Asli

Sektor pelancongan juga telah dapat membangunkan sesuatu kawasan yang kurang maju dan ketingalan. Ia juga dapat meningkatkan pendapatan dan sosio-ekonomi penduduk setempat. Contohnya, Langkawi suatu ketika dahulu merupakan sebuah pulau yang ketinggalan dari pelbagai sudut kini telah berkembang pesat melalui aktiviti pelancongan dan menjadi salah satu destinasi terkenal di dunia dengan menerima kunjungan pelancong sebanyak 2,376,736 orang pada tahun 2009 dan meningkat kepada 2,448,466 juta pelancong pada tahun 2010 (Lembaga Pembangunan Langkawi, 2009). Penduduk tempatan pula dapat melibatkan diri dalam sektor berkenaan dengan menjadi pengusaha homestay, pengusaha restoran, menjadi usahawan dalam industri kecil sederhana dan sebagainya. Hal ini dapat memacu dan merancakkan ekonomi di kawasan terbabit (Ishak et al. 2010). Dari segi aspek pengangkutan dan perhubungan pula, Malaysia kini mempunyai beberapa syarikat penerbangan murah yang turut membantu mempromosikan pelancongan negara. Umpamanya syarikat penerbangan Firefly, Air Asia dan MAS menawarkan perkhidmatan tambang murah yang memberi kemudahan dan keupayaan kepada orang ramai untuk pergi melancong ke destinasi pilihan mereka (Ishak et al. 2010). Hal ini dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakan rakyat Malaysia pergi melancong ke destinasi pilihan domestik seperti Pulau Tioman, Taman negara, Bandaraya Melaka dan termasuklah Langkawi disamping dapat mengurangkan pengaliran keluar matawang negara.

Antara Syarikat Penerbangan yang ada di Malaysia


4.0 Sumbangan Sektor Pelancongan




Tujuan utama pemasaran dan promosi adalah untuk menaikkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan. Usaha pemasaran dan promosi akan dipertingkatkan bagi mengekalkan daya saingdan tarikan produk dan perkhidmatan pelancongan. Tema Malaysia Truly Asia akan terus dimanfaatkan bagi mengukuhkan tema tersebut sebagai imej yang unik dan dikenali oleh pelancong antarabangsa. Sehubungan ini, aktiviti pemasaran dan promosi berbilang serampang terutamanya bagi Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM 2007) akan dilaksanakan secara agresif melalui penglibatan aktifdalam ekspo perdagangan, pameran dan misi jualan. Aktiviti tersebut bertujuanmengekalkan kehadiran pelancong dari pasaran jarak dekat, meningkatkanpelancong dari pasaran jarak sederhana yang berkembang pesat dan menggiatkansemula pasaran tradisional jarak jauh. TMM 2007 juga turut dijadikan faktor bagi menambahkan jumlah kehadiran pelancong dan kedatangan semula pelancongserta menarik minat pelancong agar berbelanja besar dan tinggal lebih lamadi Malaysia. Perancangan dan pelaksanaan aktiviti promosi TMM 2007 akan dilaksanakan sempena Sambutan Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia ke-50.

Sebagai usaha promosi dan pemasaran TMM 2007, aktiviti promosi dan publisiti yang lebih giat akan dianjurkan di peringkat domestik dan antarabangsa. Pelbagai langkah akan diambil bagi memudahkan prosedur imigresen di pintu masuk ke Malaysia. Usaha juga akan dilaksanakan bagi membentuk dan memasarkan pakej pelancongan istimewa bagi memenuhi keperluan pelancong dari pelbagai destinasi. Laman web sedia ada akan dinaik taraf menjadi portal pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan untuk mempercepatkan transaksi dalam talian bagi perniagaan ke perniagaan serta perniagaan ke pengguna.


Pembekal perkhidmatan digalakkan menggunakan portal tersebut bagi pengiklanan produk dan perkhidmatan serta menguruskan aktiviti jualan. Portal ini akan membekalkan maklumat mengenai, antara lain, penginapan, pengangkutan, tempat menarik dan acara kebudayaan. Di samping itu, urusan pakej kembara dan siar yang lengkap serta pembayaran dalam talian boleh dilakukan. Portal ini juga akan memudahkan pengumpulan data dan kajian terhadap minat dan pilihan pelanggan bagi meningkatkan perancangan dan mereka bentuk semula produk dan memperkemas perkhidmatan.

Pembangunan yang dijangka dalam industri pelancongan memerlukan penambahan kemudahan dan infrastruktur berkaitan pelancongan. Sektor awam akan melengkapkan usaha sektor swasta dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.0 bilion bagi tujuan menaik taraf dan menyenggara kemudahan sedia ada seperti taman awam, laluan pejalan kaki dan basikal, kawasan rehat dan rawat serta kemudahan asas yang lain. Infrastruktur yang lebih baik akan dibina termasuk pembangunan pusat maklumat pelancongan serta akses yang lebih baik melalui jalan raya, rel, jeti dan jambatan ke destinasi pelancongan yang popular. Dalam usaha meneruskan promosi Malaysia sebagai destinasi pilihan dirantau ini, sektor swasta digalakkan membangunkan produk dan perkhidmatan pelancongan yang inovatif untuk memenuhi permintaan pasaran yang berbeza serta membangunkan pasaran terpilih yang berpotensi. Bagi tujuan ini, peruntukan insentif akan dipertimbangkan untuk pembangunan produk khusus seperti ekopelancongan, produk kebudayaan dan MICE (Meeting, Incentive, Convention and Exhibition). Penekanan diberikan dalam mempakej semula tarikan sedia ada serta membangunkan produk kembara dan siar yang baru. Aktiviti pemasaran dan promosi akan diselaraskan dengan segmen pasaran utama bagi meningkatkan pelancongan dari luar negara serta pelancongan domestik.


Industri pelancongan menawarkan skop yang luas bagi daya cipta dan inovasi serta pembangunan usahawan dengan pelbagai peluang pelaburan termasuk pembinaan hotel dan rumah peranginan serta penyediaan pelbagai perkhidmatan dan tarikan pelancong. Peluang tersebut dijangka menarik minat penyertaan Bumiputera dalam aktiviti komersil dan perniagaan berkaitan pelancongan. Enterpris kecil dan sederhana (EKS) digalakkan menyertai pembangunan perniagaan sedia ada dan baru seperti penyediaan makanan, perkhidmatan rekreasi dan pembangunan produk kraf tangan. Dari segi pembiayaan, dana TIF dan Tabung Khas akan ditambah bagi menyediakan sumber pembiayaan alternatif kepada pelabur yang berpotensi. Pakej pelaburan khusus akan dibangunkan bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pasaran pelancongan yang sedang berkembang dan menubuhkan operasi pelancongan di pasaran baru dan baru muncul seperti di Asia Barat, China dan India.


Bagi memenuhi permintaan sumber manusia yang terlatih dan berpengalaman dalam bidang pengurusan, penyeliaan dan teknikal terutamanya bagi subsektor hotel dan pelancongan, penyediaan program latihan yang berkaitan akan diutamakan. National Tourism Human Resource Development Council (NTHRDC) bersama Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dan Kementerian Pengajian Tinggi serta Lembaga Akreditasi Pelancongan akan menyelaras latihan teknikal dan vokasional serta pengurusan dan penyeliaan. Sehubungan ini, kerjasama sektor awam dan sektor swasta akan digalakkan bagi memastikan output selaras dengan keperluan industri pelancongan yang semakin canggih. National Occupational Skill Standard (NOSS) sedia ada akan dikaji semula dari semasa ke semasa oleh MLVK bagi memastikan kesesuaian standard kemahiran bagi memenuhi permintaan industri pelancongan. Pelajar sekolah akan diberikan pendedahan mengenai peluang kerjaya dalam industri pelancongan manakala institusi pendidikan tinggi digalakkan menawarkan pelbagai jenis kursus berkaitan pelancongan. Pemandu pelancong akan terus dilatih manakala yang baru akan menjalani latihan secara intensif bagi memastikan perkhidmatan berkualiti diberikan. Pemandu pelancong juga digalakkan mempelajari bahasa asing terutamanya bahasa Arab, Jepun, Jerman dan Sepanyol.

Bagi meningkatkan lagi promosi sektor pelancongan, kerajaan akan terus membantu memupuk pakatan strategik global dan serantau dan perkongsian pintar antara kerajaan, organisasi pelancongan dan sektor swasta. Perkongsian ini akan mewujudkan nama baik bagi Malaysia dan meningkatkan lagi kerjasama di kalangan negara lain dan seterusnya menggalakkan pelancongan antara negara melalui aktiviti mesyuarat dan persidangan. Pembekal perkhidmatan kembara dan siar, pembekal perkhidmatan pengangkutan, organisasi MICE, pengusaha hotel dan operator di destinasi pelancongan digalakkan bekerjasama antara mereka supaya dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pelancong. Di samping itu, dengan peningkatan liberalisasi dalam perkhidmatan pelancongan di bawah Perjanjian Rangka Kerja ASEAN Mengenai Perkhidmatan, usaha giat akan dijalankan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi utama dan destinasi persinggahan di kalangan negara ASEAN serta rantau Asia Pasifik.

Dalam tempoh Rancangan, pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi meningkatkan akses ke negara ini dan dalam negara. Sehubungan ini, perkhidmatan di pintu masuk, rangkaian pengangkutan antara bandar dan tempat peranginan serta akses kepada perkhidmatan komunikasi terutamanya kemudahan Internet akan dipertingkatkan. Infrastruktur dan kemudahan pengangkutan udara, daratdan laut akan dinaik taraf bagi membantu pertumbuhan industri pelancongan.Penambahbaikan termasuk memperkenalkan permohonan visa dalam talian dan penyediaan permit masuk berbilang akan terus dilaksanakan bagi membantu kelancaran perjalanan.

Kekerapan dan kapasiti penerbangan antara Malaysia dengan pasaran tertentu akan ditambah bagi memudahkan pelancong dari luar negara melawat Malaysia. Langkah lain termasuk berkongsi kod operasi dengan syarikat penerbangan lain serta menggalakkan lagi syarikat penerbangan asing beroperasi di negara ini. Liberalisasi perkhidmatan penerbangan di rantau ASEAN pada tahun 2008 akan mempertingkatkan akses ke bandar negara ASEAN dan seterusnya mempromosi pelancongan serantau. Lapangan Terbang Kota Kinabalu akan diperbesar bagi pembangunan hab LCC yang kedua di Malaysia selepas KLIA.
Destinasi Penerbangan Antarabangsa Penerbangan Malaysia Berhad (MAS)

Usaha bagi memastikan pembangunan pelancongan yang mampan termasuk menggunakan pendekatan yang lebih bersepadu dalam perancangan dan pelaksanaan projek. Usaha ini memerlukan penyelidikan dan penilaian impak yang berterusan ke atas program dan projek berkaitan pelancongan. Penyelidikan dan risikan pemasaran dengan kerjasama pihak swasta akan terus dijalankan untuk menganalisis profil pelancong dan arah aliran pelancongan global dan domestik. Di samping itu, Akaun Satelit Pelancongan (TSA) akan dibangunkan sepenuhnya. Mekanisme TSA boleh antara lain mengira sumbangan sektor pelancongan kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan pendapatan negara bagi membantu penggubalan dasar serta pengubahsuaian strategi dan program bagi industri pelancongan.

Memandangkan keselesaan dan keselamatan merupakan faktor penting dalam industri kembara dan siar, usaha yang lebih giat akan diambil bagi memastikan Malaysia sebuah negara yang menyenangkan dan selamat untuk dilawati. Pasukan polis pelancong akan diperkukuh untuk meningkatkan keselamatan pelancong. Pada masa yang sama, negara akan menggunakan sepenuhnya kestabilan politik dan suasana harmoni antara etnik untuk meningkatkan imej negara sebagai destinasi mesra pelancong.




5.0 Cabaran dan Langkah-langkah Membangunkan Sektor Pelancongan



Pembangunan produk dan perkhidmatan yang lebih inovatif akan digalakkan bagi memenuhi minat dan cita rasa yang berlainan di kalangan pelancong bagi meningkatkan ketibaan pelancong, memanjangkan tempoh penginapan dan meningkatkan perbelanjaan pelancong tempatan dan luar negara. Di samping itu, agensi kembara dan siar digalakkan untuk meningkatkan reka bentuk, daya tarikan dan pemasaran pakej pelancongan dengan memberikan perhatian terhadap minat tertentu, kualiti dan harga bagi memenuhi kehendak pelancong yang pelbagai.

Penekanan yang lebih besar akan diberikan kepada ekopelancongan melalui pemuliharaan tarikan semula jadi seperti pusat perlindungan haiwan liar, taman negara, tanah tinggi dan pulau. Pelbagai acara pengembaraan dan lawatan serta ekspedisi khas akan disediakan supaya pelancong boleh menyertai pelbagai aktiviti berkaitan alam semula jadi terutamanya di Taman Negara di Semenanjung Malaysia, Taman Kinabalu di Sabah danTaman Negara Bako di Sarawak. Bagi menarik lebih ramai pelancong, aktiviti sukan lasak eko pelancongan akan dianjurkan di tempat seperti di Pulau Papan,Wilayah Persekutuan Labuan; Sungai Tembeling, Pahang; dan Pulau Pinang. Di samping itu, kemudahan pelancongan seperti pusat maklumat dan penerangan serta kemudahan awam akan disediakan dan dinaik taraf.
Lebih banyak aktiviti nilai ditambah akan disediakan di bawah agropelancongan dan Program Inap Desa seperti tinggal di dusun dan melawat taman pertanian serta pusat penyelidikan.Tetamu akan digalakkan melawat tempat kraf tangan dan menyertai aktiviti seperti membuat pasu, melukis batik, menganyam bakul dan menenun songket.

Taman Agroteknologi di Cameron Highlands
Membuat pasu
Melukis batik 
Menganyam bakul

Menenun songket

Pemuliharaan tempat bersejarah, bangunan dan bahan artifak akan terus menjadi salah satu langkah bagi memelihara peninggalan sejarah negara serta menambah bilangan tarikan pelancong. Bagi melaksanakan strategi ini, beberapa tempat dan bangunan bersejarah dikenal pasti untuk dipulihara dalam tempoh Rancangan. Tempat tersebut termasuk Kota Kuala Muda di Kedah, Fort Alice di Sarawak dan kawasan neolitik Bukit Tengkorak di Sabah. Laluan bersejarah turut dibangunkan berdasarkan tema tertentu seperti warisan Baba Nyonya, era Portugis dan Belanda di Melaka, kawasan tinggalan perang di Kota Bharu serta Bunga Mas di Kedah dan Kelantan.
Kota Kuala Muda Yang Dibina Pada Kurun Ke-18 

Fort Alice (Kubu Alice) Di Sri Aman, Sarawak
Bukit Tengkorak Di Semporna, Sabah

Muzium Warisan Baba Nyonya di Melaka

Bangunan Stadthuys Yang Bermaksud Dewan Perbandaran Dalam Bahasa Belanda di Melaka

A Famosa Antara Warisan Belanda di Melaka 
Bagi kebudayaan, hiburan dan seni, usaha promosi akan diberi tumpuan kepada bidang seperti persembahan seni komersil dan bukan komersil, muzium, galeri seni, pusat kraf tangan dan hiburan serta taman tema. Tarikan kebudayaan akan terus dipromosi bagi mempamerkan kepelbagaian etnik dan pesta budaya. Malaysia juga akan dipromosi sebagai pusat tumpuan sajian memandangkan wujudnya kepelbagaian makanan daripada penduduk negara ini yang berbilang etnik. Sehubungan ini, pakej sajian yang inovatif berdasarkan keistimewaan masakan sesebuah negeri, daerah dan komuniti akan disediakan bagi menarik minat pelancong supaya menikmati hidangan tempatan.
Muzium Negara  
Kompleks Kraf Kuala Lumpur
Taman Tema Genting Hinglands

Taman Tema Air A Famosa Melaka
Usaha yang lebih giat akan diambil bagi menjadikan Malaysia lokasi penggambaran yang digemari oleh penerbit filem dan syarikat media asing untuk menjalankan penggambaran filem, iklan televisyen dan dokumentari. Langkah ini akan menyediakan saluran tambahan untuk Malaysia mendapatkan publisiti di peringkat antarabangsa dan pendedahan mengenai tempat percutian dan tarikan pelancong di Malaysia. Dalam tempoh Rancangan, pasaran MICE dijangka terus menjadi suatu sumber pendapatan tukaran asing yang utama. MICE merupakan pasaran berlaba tinggi yang berpotensi menarik ramai ahli perniagaan berkualiti ke Malaysia.Langkah promosi akan dipertingkatkan untuk memasarkan Malaysia sebagai sebuah lokasi yang ideal bagi aktiviti MICE antarabangsa yang mempunyai ciri penting seperti kestabilan politik, pakej yang berdaya saing, kebolehan pengurusan yang kukuh dan perkhidmatan yang cemerlang. Dalam industri MICE yang kompetitif, Kerajaan akan bekerja rapat dengan sektor swasta dalam proses bida untuk menganjurkan persidangan utama, seminar dan pameran serta acara sukan. Penekanan akan diberi kepada menambah dan menaik taraf kemudahan berkaitan MICE yang perlu bagi menjadi tuan rumah persidangan dan pamerandi peringkat antarabangsa dan tempatan. Dalam tempoh Rancangan, usaha akan dipergiat bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah antarabangsa. Bagi menggalakkan lagi aktiviti membeli-belah, usahawan akan digalak supaya mendapatkan hak agensi dan pengedaran produk jenama tempatan dan luar negara. Kraf tangan dan hasil seni Malaysia seperti batik, wau dan labu sayong akan turut dipromosi sebagai produk pelancongan yang unik. Di samping itu, persembahan muzik tempatan dan teater serta hiburan kosmopolitan akan dianjurkan lebih kerap di Istana Budaya, Dewan Filharmonik Petronas dan pusat budaya yang lain di seluruh negara.
Istana Budaya

Dewan Filharmonik Petronas
Dalam usaha mempromosi Malaysia sebagai pusat pelancongan yang berasaskan sukan dan rekreasi antarabangsa, acara sukan bertaraf antarabangsa seperti Piala Monsun (Monsun Cup), Islamic Solidarity Games, Royal Langkawi International Regatta dan Amazing Race serta pertandingan golf antarabangsa akan terus dianjurkan. Usaha turut diambil bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat sukan yang menarik yang mampu menganjurkan pelbagai jenis sukan ekstrim seperti luncur angin, berakit mengharungi jeram dan payung terjun serta program televisyen berbentuk realiti.


Sukan Air Piala Monsun (Monsun Cup) di Terengganu

Acara Amazing Race di Kuala Lumpur
Sebagai usaha menyediakan pelbagai produk pelancongan, industri pelayaran dan pelayaran persiaran akan terus digalakkan. Putrajaya akan terus dipopularkan sebagai pusat sukan yang menganjurkan acara kayak, bot dan basikal air. Promosi pelancongan pendidikan akan terus dipertingkatkan bagi membangunkan Malaysia sebagai destinasi pilihan oleh pelajar antarabangsa. Pendapatan tukaran asing dari sumber pertumbuhan yang berpotensi ini dianggar sebanyak RM900 juta menjelang tahun 2010. Sehubungan ini, jumlah Pusat Penggalakan Pendidikan Malaysia di bandar terpilih di seluruh dunia akanditingkatkan. Usaha mempromosi pelancongan kesihatan akan dipergiat bagi menempatkan Malaysia sebagai pusat pelancongan kesihatan yang baru didunia. Sehubungan ini, sektor swasta akan digalakkan menyertai pelbagai pameran perdagangan dan ekspo bagi mempamerkan perkhidmatan kesihatan Malaysia dalam rawatan perubatan tradisional dan moden. Menjelang tahun 2010, pelancongan kesihatan dijangka menghasilkan pendapatan berjumlah RM2.0 bilion.

Program Malaysia Rumah Keduaku akan dipromosi secara intensif bagi memupuk minat di kalangan peserta yang berpotensi. Sehubungan ini, kerjasama antara agensi akan dipertingkatkan bagi menjamin kelancaran pelaksanaan program. Pelancongan domestik akan terus diutamakan dan dimajukan supaya menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan. Program untuk mempromosi kembara dan siar domestik akan menumpukan kepada usaha memupuk budaya merancang percutian di kalangan masyarakat Malaysia dan menggalakkan rakyat tempatan menjelajah ke pelbagai tempat pelancongan yang menarik dalam negara. Sehubungan ini, pelbagai pameran, pesta dan acara khusus akan dianjur bagi mempromosi pakej pelancongan dengan harga berpatutan dan meningkatkan kesedaran jenama pelancongan domestik sepanjang tahun. Pakej pelancongan Cuti-cuti Malaysia, program pelancongan pelajar dan bas rombongan bagi kumpulan pelancong yang khusus akan terus dipromosi secara giat bagi meningkatkan kembara dan siar domestik.

Bagi meningkatkan kembara dan siar domestik, sektor swasta akan digalakkan menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih baik serta pelbagai penginapan daripada yang termahal kepada kadar mampu sewa bagi memenuhi keperluan kumpulan sasar yang berbeza. Di samping itu, penambahan kapasiti terminal LCC dan laluan yang berdaya saing dijangka memudahkan lagi perjalanan domestik. Agensi pelancongan Kerajaan Persekutuan dan negeri akan bekerjasama dengan sektor swasta dalam menganjurkan kempen pemasaran melalui pamerandi setiap negeri bagi mempromosi pelancongan domestik di negeri berkenaan.


6.0 Kesimpulan


Sektor pelancongan merupakan satu industri yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Ia merupakan satu sektor yang penting bagi meningkatkan hasil pendapatan negara melalui peningkatan jumlah pelancong yang berkunjung. Pergerakan dan perbelanjaan para pelancong mampu meningkatkan pendapatan negara melalui cukai membeli belah, cukai penginapan, cukai makanan dan juga melalui pertukaran matawang asing. Di samping itu, sektor pelancongan juga dilihat mampu menjana pendapatan dan ekonomi penduduk setempat dengan penyertaan mereka dalam industri tersebut. Kerajaan Persekutuan telah melakukan pelbagai pelaburan dengan jumlah peruntukan dana yang tinggi bagi membangunkan sektor pelancongan negara. Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.


JOM CUTI-CUTI MALAYSIA






Rujukan


  1. Amal Hayati Ishak et all (2010), “Meneroka Potensi Sektor Pelancongan Dalam Menjana Pertumbuhan Ekonomi Negara”, (Prosiding Seminar Pengurusan Hotel dan Pelancongan Islam, Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) Shah Alam, 22-23 Jun 2010), h 285-29.
  2. Asmak Ali dan Fatimah Salleh (2010), “Pelancongan dari Perspektif Islam”, (Prosiding Seminar Pengurusan Hotel dan Pelancongan Islam, Universiti Institut Teknologi Mara (UITM) Shah Alam, 22-23 Jun 2010), h. 52-63.
  3. Chris Cooper et al. (1993), Tourism Principles And Practice, Longman Group Limited, h. 4.
  4. Christine N. French et all (1995), Principles Of Tourism, Pearson Education Australia Pty Limited, pp. 3.
  5. Fathi Yakan (1999), Fiqh al-Siyahah fi al-Islam, Beirut Lubnan, Muasasah al-Risalah, h. 28
  6. Habibah Ahmad (1994), “Industri Pelancongan Di Asean : Satu Cabaran”, Jurnal Akademika 44(Januari 1994), h 15-44, h 22.
  7. Hashim Ibn Muhammad Ibn Hussain Naqud (2003), Ahkam Al-Siyahah wa Atharuha, Arab Saudi, Dar Ibn al-Jauziyah, h. 17.
  8. Islamic Tourism Centre http://www.itc.gov.my/content.cfm akses pada 30 Jan 2012.
  9. Joyce M. Hawkins (2006), Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, Edisi Keempat, Oxford Fajar Sdn Bhd, h. 203.
  10. Laporan ekonomi 2010/2011, Kementerian Kewangan Malaysia,h. 7.
  11. Lembaga Pembangunan Langkawi (2009), Laporan Tahunan 2009, h. 57.
  12. Marzuki, A. (2010). Tourism development in Malaysia. A review on federal government policies. Theoretical and Empirical Researches in Urban Management, (17), 85.
  13. Nik Anuar Nik Mahmud (2009), Konfrontasi Malaysia Indonesia, Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia, h 127.
  14. Noresah Bt Baharom (1997), Kamus Dewan Edisi Ketiga, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka, h. 756.
  15. Salehen Sidek (2010), “Formula Baharu Sektor Pelancongan”, Dewan Ekonomi, April 2010, h 54-55.
  16. Unit Perancang Ekonomi (1971), Rancangan Malaysia ke-2 1971-1975, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, h 52.
  17. Unit Perancang Ekonomi (1981), Rancangan Malaysia Ke-Empat 1981-1985, Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri, h. 344.
  18. Unit Perancang Ekonomi (1986), Rancangan Malaysia ke-Lima 1986-1990, Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri, h 395.
  19. Unit Perancang Ekonomi (1991), Rancangan Malaysia Ke-Enam 1991-1995, Putrajaya, Jabatan Perdana Menteri, h 171.
  20. Unit Perancang Ekonomi (1996), Rancangan Malaysia Ke-Tujuh 1996-2000, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, h. 361.
  21. Unit Perancang Ekonomi (2001), Rancangan Malaysia Ke-Lapan 2001-2005, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, h 355-356.
  22. Unit Perancang Ekonomi (2006), Rancangan Malaysia Ke-Sembilan 2006-2010, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, h 204.
  23. Unit Perancangan Ekonomi (2010), Program transformasi Ekonomi : Hala Tuju Untuk Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, h. 341.
  24. World Tourism Organization, http://unwto.org/ akses pada 9 Mac 2011. 

No comments:

Post a Comment